KDN -LESEN SEKSYEN 3 AKTA NO. 27/71 - PENGAMBILAN PENGAWAL

SYARAT-SYARAT LESEN DI BAWAH SEKSYEN 3 AKTA NO. 27/71 UNTUK MENGURUS AGENSI PERSENDIRIAN KAWALAN - (Lampiran 1)


1. Pengambilan Pekerja dan Pengawal

(a) Hanya warganegara Malaysia sahaja dibenarkan untuk diambil bekerja. Pengambilan pekerja-pekerja di semua peringkat hendaklah mencerminkan masyarakat Malaysia.

(b) Satu perlima (1/5) daripada pengawal-pengawal keselamatan Agensi Perkhidmatan Kawalan dikehendaki terdiri daripada bekas Polis dan bekas Tentera.

(c) Pekerja-pekerja hendaklah diambil dari mereka yang mempunyai watak yang baik.

(d) Hanya warganegara asing bekas tentera warganegara Nepal sahaja yang dibenarkan untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan.

(e) Pengawal beruniform mestilah sekurang-kurangnya berukuran 1.57 meter (5’ 2’’) tinggi bagi lelaki dan 1.52 meter (5’) bagi wanita, manakala 47.6 kg. (105 paun) bagi lelaki dan 46.2 kg (102 paun) bagi wanita.

(f) Pengambilan pekerja dan pengawal keselamatan mestilah mendapat kelulusan tapisan keselamatan dari Polis dan lulus ujian air kencing.

(g) Pengambilan pengawal keselamatan berumur lebih 60 tahun tidak dibenarkan. Bagi pengawal yang berumur 56 tahun dan ke atas hendaklah mendapat pengesahan dari doktor mengenai tahap kesihatannya.

(h) Pengambilan pengawal hendaklah sihat dan pengesahan dari doktor adalah diperlukan bagi setiap pengawal yang diambil bekerja.

(i) Semua pengawal keselamatan diwajibkan menjalani ujian air kencing di mana-mana klinik kesihatan dalam tempoh 7 hari (bekerja) dari tarikh ia dilantik sebagai pengawal keselamatan. Bagi pemeriksaan kesihatan yang lain ia tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh syarikat.

(j) Seseorang pemohon hanya boleh memulakan tugas sebagai pengawal keselamatan selepas 7 hari (bekerja) dari tarikh ia dilantik sebagai pengawal keselamatan. Ia perlu diberikan latihan in-house tidak kurang dari seminggu sebelum memulakan tugas di tempat yang bersesuaian.

(k) Hanya pengawal yang telah lulus tapisan keselamatan dan ujian air kencing dibenarkan bekerja.

(l) Semua pengawal keselamatan hendaklah mengikuti kursus asas pengawal keselamatan yang ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri dalam tempoh 3 bulan setelah pengawal diambil bekerja.

(m) Pengambilan pekerja secara kontrak tidak dibenarkan.


2. Alat-Alat dan Pakaian Pengawal

(a) Agensi Perkhidmatan Kawalan yang diberi kebenaran memiliki senjata api oleh Polis adalah dikehendaki melaporkan kepada Kementerian Dalam Negeri bilangan dan jenis senjata api yang dimiliki pada setiap tahun.

(b) Agensi Perkhidmatan Kawalan yang dibenarkan memiliki senjata api adalah dikehendaki menyediakan sebuah bilik kebal ataupun peti besi yang sesuai untuk menyimpan senjata dan peluru dengan selamat.

(c) Agensi Perkhidmatan Kawalan yang dibenarkan memiliki senjata api dan peluru adalah dikehendaki menyimpan buku daftar untuk merekodkan pergerakan keluar masuk senjata api.

(d) Anggota Agensi Perkhidmatan Kawalan yang dibenarkan membawa dan mengguna senjata api hendaklah diberi latihan yang cukup tentang cara membawa, mengguna, menjaga dan menyimpan senjata api. Latihan menembak hendaklah diadakan dari semasa ke semasa, sekurang-kurangnya dua kali setahun.

(e) Agensi Perkhidmatan Kawalan hendaklah menggunakan senjata api miliknya sendiri untuk tujuan kawalan. Senjata api kepunyaan pengawal atau senjata api RELA adalah dilarang sama sekali daripada digunakan. Walau bagaimanapun, sekiranya agensi itu hendak menggunakannya juga, kelulusan Polis adalah diperlukan untuk meminda syarat kegunaan senjata api berkenaan.

(f) Agensi Perkhidmatan Kawalan tidak dibenarkan menggunakan gari.

(g) Pengawal-pengawal keselamatan hendaklah memakai pakaian seragam yang ditetapkan iaitu :

Kombinasi 1
Warna Baju Kemeja: Beige (kod warna: MS 888 14)
Warna Seluar: Hitam (kod warna: MS 888 9)

Kombinasi 2
Warna Baju Kemeja: Putih (kod warna: MS 888 8)
Warna Seluar: Biru Gelap (kod warna: MS 888 8021)

Kombinasi 3
Warna Baju Kemeja: Kelabu Biru (kod/w: MS 888 8005)
Warna Seluar: Biru Gelap (kod warna: MS 888 8021

Warna-warna lain tidak dibenarkan. Lambang atau lencana syarikat hendaklah dipakai di pakaian seragam semasa menjalankan tugas. Lencana atau lambang yang digunakan hendaklah mendapat kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri.

(h) Penggunaan sistem pemantauan berpusat (Central Monitoring System) perlu mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri dan pihak Polis.


RUJUKAN:
Garis Panduan Perancangan ‘Gated Community and Guarded Neighbourhood’
ISBN 978-983-41729-4-7
Diterbitkan di Malaysia Oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan

FYI Links:
http://www.moha.gov.my/images/maklumat_perkhidmatan/pekeliling_agensi_persendirian/pekeliling_1.pdf
*********









Popular Posts